Sabtu, 09 Mei 2009

Mengetahui Batasan Kita

Mengetahui Batasan Kita
Oleh Mawlana Sheikh Hisham Kabbani
Michigan, USA 1996


Bismillahir Rahmanir Rahim.

Saya meminta bantuan daripada Sultanul Awliya Sheikh Abdullah Faiz Daghestani dan Sayyidi Sheikh Nazim al-Haqqani. Saya akan bercakap tentang satu perkara yang penting bagi kita semua, terutama sekali bagi mereka yang memegang tanggungjawab. Allah telah menyempurnakan Rasulullah (saw). Oleh sebab itu baginda (saw) tahu batasan beliau di hadapan Allah. Para awliya juga tahu batasan mereka di hadapan baginda Rasulullah (saw). Para ulama shariat tahu batasan mereka di hadapan guru-guru mereka. Pengikut setia sheikh atau murid ulama-ulama harus tahu batasan di hadapan guru atau sheikh mereka. Sekiranya orang melanggar batasan masing-masing, keadaan kacau dan huru-hara akan berlaku.

Tidak seorangpun suka menjadi penzalim. Tidak semestinya kita menzalimi orang lain untuk menjadi seorang yang zalim. Kita juga kadang menzalimi diri kita sendiri. Kita menjadi penzalim kepada diri kita apabila kita melampaui batasan kita. Jadi sebutan penindas atau penzalim bukan hanya untuk mereka yang menindas atau menzalimi orang lain. Di dalam bab kerohanian, di dalam tasawuf atau aliran sufi, siapa saja boleh dianggap penzalim atau penindas apabila dia melampaui batasannya dan menindas dirinya sendiri.

Bagi ahli al-haqiqah, yakni berdasarkan realiti yang mereka tahu, mereka akan dianggap sebagai zalim seandainya mereka melanggar batas, walaupun tidak ada seorangpun yang menganggap mereka zalim. Siapapun yang tiba ke maqam sedemikian itu, akan menghadapi pelbagai masalah dan rintangan kerana dia leka dan jahil tentang status dia. Dia mungkin beranggapan bahawa dia sudah sampai ke maqam yang tinggi, padahal masih rendah – ini dikira sebagai tindakan yang zalim kepada diri sendiri. Satu lagi contoh ialah sekiranya kita makan terlalu banyak, perbuatan ini dianggap sebagai satu kezaliman dan penindasan kepada diri kita – demikianlah pendirian ahli al-haqiqah.

Apabila kalian sedang berzikir dan merasa nikmat dengan ulangan dan rentak zikir tersebut, dan hati begitu asyik dengan zikir, kalian mungkin akan sampai ke tahap dhauq. Apabila kalian sampai ke tahap itu, hentikan zikir kerana ini merupakan penindasan diri sendiri. Di dalam keadaan begitu, nafsu sedang memperdayakan kalian dengan menyuruh kalian berzikir dengan lebih lagi. Waktu itu, kalian akan ingat bahwa dengan zikir itu kalian telah sampai ke tahap keasyikkan yang paling tinggi. Walaupun ramai yang berzikir begitu, berjaga-jagalah supaya jangan tertipu oleh nafsu dengan memikirkan bahawa kalian telah berzikir dengan hebat. Apabila kalian melayani ide dan fikiran yang sedemikian, kalian telah menjadi seorang penzalim terhadap diri masing-masing – nafsu telah berjaya menipu kalian.

Banyak sekali orang yang menzalimi diri mereka. Malah, terdapat juga ada yang bercerita tentang apa yang berlaku kepada diri mereka sewaktu berzikir, gembira dengan apa yang mereka lihat dan alami. Tindakan ini juga dianggap sebagai zalim, kalian telah melampaui batas dan akan jatuh. Bab ini memang halus. Apabila kita masuk tariqat ini atau tariqat apapun, peningkatan kerohanian yang kita alami bukannya datang daripada usaha kita. Peningkatan tersebut berpuncak daripada kuasa dan kewibawaan Allah kepada Rasul (saw) dan daripada Rasul (saw) kepada sheikh, dan daripada sheikh kepada kita. Tidak ada apa-apa yang datang daripada kita! Seandainya sheikh menarik bantuannya, kita akan jatuh.

Tidak ada siapapun yang bisa menolong kita, malah sheikh yang lain pun tidak terdaya untuk membantu kerana mereka tidak dibenarkan memegang kita. Beginilah keadaannya sekiranya sheikh itu benar-benar wali Allah. Jangan kita terpedaya dengan gelaran sheikh begitu mudah. Banayk orang yang suka menggelari diri mereka sheikh. Wali-wali Allah yang bertariqat bukan saja celik mata, mereka juga pegang dengan teguh shariat Allah. Kalian tidak boleh jadi wali sekiranya kalian tidak pegang shariat. Ini merupakan prinsip yang penting di dalam setiap tariqat. Setiap sheikh mesti memegang shariat dengan kuat.

Wa min Allah at Tawfiq



Sumber : http://mevlanasufi.blogspot.com/2005_10_01_archive.html

Arsip Blog