Sabtu, 09 Mei 2009

Jangan Risau

Jangan Risau
Oleh Sheikh Muhammad Nazim Adil al-Qubrusi al-Haqqani
Lefke, Cyprus, 1990


Sayyidina Muhammad (saw) telah menyampaikan nasihat yang baik ini kepada manusia:
"Apabila kamu bangun di pagi hari dan mendapati keperluan kehidupan mencukupi, dan kamu dan keluarga berada dalam keadaan sehat, janganlah bebankan diri dengan kerisauan."

Baginda (saw) menasihati supaya jangan kita membuat masalah untuk diri kita. Sekiranya terdapat masalah-masalah yang penting dan rumit, itu merupakan hal lain, tetapi kebanyakkan “masalah-masalah” di dalam pemikiran manusia bukanlah merupakan masalah – ia hanyalah di dalam pemikiran mereka sahaja. Masalah-masalah itu merupakan “jangkaan”, yakni masalah-masalah yang mungkin atau tidak mungkin berlaku. Ini merupakan malapetaka yang melanda manusia di abad sekarang: kebimbangan, atau penderitaan yang direka sendiri tentang kemungkinan berlakunya sesuatu masalah. Akibat daripada kebimbangan yang neurotik ini, manusia akan merasai penderitaan yang lama, walaupun akhirnya apa yang mereka risaukan tidak berlaku. Ini merupakan puncak kebodohan.

Kita memikul bebanan harian saban minggu, bulan, dan tahun. Kenapa perlu kita pikul bebanan itu sekiranya kita boleh hidup tanpanya; kita akan mendapati bahawa apa yang kita perlukan akan diperolehi apabila kita sampai ke penghujung jalan. Kalian hanya wujud dan hidup di masa ini dan sekarang. Esok hanya merupakan khayalan, tidak ada kepastian bahawa kalian akan hidup sampai esok. Dengan mengada-adakan bermacam-macam masalah untuk diri kalian, kalian hanya akan membuat diri menjadi sakit. Tidakkah nasihat Rasulullah (saw) di atas cukup menjadi bukti bagi kita untuk memperolehi hidup yang bahagia?

Allah Yang Maha Besar tidak mahu hamba-hambaNya diseksa dengan kesusahan yang direka sendiri. Allah berfirman, “Wahai hambaku, jangan bebankan dirimu dengan kerisauan masa hadapan. Susunkan kehidupanmu dengan Kehendakku; bersatulah dengan Tujuanku, dan nescaya bahawa Aku akan memelihara masa depanmu sesuai dengan Kehendakku.”

Mungkin kalian akan lebih faham maksud saya melalui contoh berikut. Apabila landasan keretapi yang baru telah siap, landasan itu akan diuji dengan sebuah kenderaan besi beroda dua. Ujian ini ialah untuk memastikan landasan itu lurus dan kuat. Dengan keadaan yang sama, sekiranya kalian dapat menyelaraskan kehendak kalian dengan kehendak Allah, walaupun untuk segelintir waktu, tanpa memikul beban yang berat, ketahuilah bahawa kalian berada di dalam jalan yang betul. Dan walaupun ada masanya terdapat kesusahan di sana sini, landasan kalian yang lurus dan kuat itu akan membawa kalian menempuhi kesusahan tersebut dengan mudah dan licin. Penyelesaian untuk masalah waktu sekarang merupakan penyelesaian untuk masalah tahun depan.

Apabila saya berada di negara-negara Barat, saya sering berhadapan dengan manusia yang memikul beban masalah yang belum berlaku. Adalah sangat sukar bagi manusia pada zaman sekarang melepaskan diri mereka daripada perspektif hidup begini. Sukar bagi mereka untuk menumpukan kepada masa sekarang untuk membetulkan keadaan. Mereka berhadapan dengan segala jenis masalah yang direka-reka secara serempak, oleh begitu, bagaimana penyelesaian dapat dicari?

Saya sering bertemu dengan ramai orang bekejar keluar dari masjid selepas menunaikan solat fardhu. Kadang-kadang saya bertanya kepada mereka, “ Kenapa tergesa-gesa?” Sambil melihat jam tangan, mereka menjawab, “Kami telah berada di dalam masjid ini terlalu lama, banyak lagi perkara yang lain harus kami kerjakan.” Saya menyambung, “Berusaha dan rajin mengurus hal duniawi disanjungi, tetapi siapa akan menjaga urusan anda sekiranya anda mati sekarang?”

Bukanlah maksud saya untuk menyuruh orang menghabiskan masa mereka di masjid sepanjang hari. Saya hanya ingin mengingatkan kepada orang yang menumpukan masa yang begitu banyak kepada urusan dunia, mengejar impian dan cita-cita dunia, bahawa kalian tidak akan dapat menjadi “tuan” kepada dunia. Dalam usaha untuk menguasai dunia, banyak perkara yang kalian abaikan dengan rakus. Pertama, ketahuilah bahawa dunia ini sudah ada Tuannya, dan sekiranya kalian menyembah Dia dengan rendah hati dan tenteram (tidak terburu-buru) di dalam solat, tindakan itu akan menjadi penentu bagi kalian mendapat rezeki – tidak perlu kalian bertungkus lumus mengejarnya di kota atau di mana-mana saja. Kedua, dalam usaha kalian mengejar dunia dengan terburu-buru dan gelojoh, kalian mungkin akan diserang dengan penyakit sakit jantung dan akan mati muda!

Jangan hidup dengan mimpi-mimpi atau skema-skema yang besar. Skema-skema tersebut tidak dapat menghalang kalian daripada masalah, tetapi di sebaliknya akan menyulitkan lagi kehidupan kalian. Mudahkan masalah kalian agar penyelesaiannya juga mudah. Jangan memperbesarkan masalah-masalah kalian sehingga ianya lari daripada perspektif yang sebenar, tabiat begitu akan menghancurkan kalian secara fizikal dan rohani.

Sumber : http://mevlanasufi.blogspot.com/2005_10_01_archive.html

Arsip Blog